Anwar gesa PH Sarawak bentuk pasukan mantap untuk tangani isu rakyat

Anwar(kanan) berbincang sesuatu dengan Muhyiddin(kiri) dan Presiden pAmanah Mohamad Sabu.

Oleh Chris Bishop

KUCHING: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Pakatan Harapan (PH) Sarawak membentuk satu pasukan yang mantap.

Berucap di Majlis Makan Malam ‘Harapan Sarawak Baharu’, beliau percaya pasukan yang mantap dapat menyelesaikan isu rakyat di negeri ini dengan baik.


Katanya,  isu kerosakan persekitaran, pembalakan haram, tanah hak adat Bumiputera dan keuntungan dikaut oleh kelompok tertentu di Sarawak mesti ditangani segera.

Anwar berucap di majlis makan malam Harapan Sarawak Baharu di Kuching.

“Pemimpin PKR di Sarawak tahu akan masalah ini termasuk tanah adat Bumiputera dan keuntungan dikaut oleh kelompok tertentu.

“Saya masih ingat semasa saya pergi ke Batang Ai saya nampak lori masuk kosong tapi keluar dengan muatan kayu balak.

“Yang diperolehi penduduk rumah panjang hanya debu dari lori,” ujar beliau.

Tambah Anwar, perancangan harus dibuat agar kes dapat dibawa ke pengetahuan dunia iaitu menerusi Paris Climate Agreement dan ditangani.

Di majlis yang sama, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata PH ada agenda besar untuk rakyat Malaysia.

Menurut Muhyiddin, PH berazam untuk meningkatkan pembangunan sosio ekonomi lebih tinggi dari apa yang dicapai pada masa kini.

“Sarawak wilayah penting bagi Malaysia dan rakyatnya seperti negeri lain menpunyai cita-cita, azam, tekad dan harapan yang begitu tinggi,”katanya.— DayakDaily