PH yakin dapat bentuk kerajaan negeri yang baharu selesai PRN12

Barisan pimpinan PH merakamkan kenangan di Kuching. Kelihatan Chong (empat dari kiri) dan Baru (baju batik hijau, tiga dari kanan).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Julai 28: Pakatan Harapan (PH) yakin dapat menggulingkan kerajaan negeri Sarawak pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 akan datang.

Pengerusi PH Sarawak, Chong Chieng Jen berkata PRN itu nanti merupakan pertarungan antara kerajaan (PH) dan kerajaan (GPS).


“Pakatan Harapan adalah parti nasional dan membawa perubahan kepada Sarawak; anda memerlukan parti nasional dan bukannya parti tempatan seperti GPS,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Harapan Baru Sarawak di salah sebuah hotel di sini malam ini.

Tambah Chong yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak, GPS sering membawa sentimen rakyat dengan mesej PH adalah parti Malaya.

Menurut beliau, mesej tersebut bertujuan untuk mengelirukan rakyat dan tidak benar.

Di majlis yang sama, Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, Baru Bian berkata pertemuan di majlis itu merupakan petanda bahawa komponen PH kini kian rancak berkembang dan merupakan bukti bahawa PH adalah pilihan rakyat Malaysia yang dahagakan perubahan.

“Saya menyeru supaya parti-parti komponen terus giat dalam melakukan gerak kerja yang sistematik supaya kita tidak akan berhadapan dengan banyak masalah apabila tiba waktu pilihanraya diadakan kelak.

“Kali ini kita berkeyakinan tinggi untuk mengambil alih pemerintahan Sarawak dari Kerajaan GPS, kerana komponen PH mempunyai akses yang menyeluruh,” katanya.

Majlis tersebut dihadiri lebih 1,000 ahli dari empat parti komponen Pakatan Sarawak iaitu DAP, PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pribumi Bumiputera Malaysia (Bersatu).

Turut hadir Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Presiden PH Pusat, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Ahli Majlis Tertinggi Pusat DAP, Lim Kit Siang. — DayakDaily