KUCHING, 12 Julai: Warga Tentera Darat telah diingatkan supaya sentiasa patuhi disiplin dan tidak terjebak dalam aktiviti haram seperti penyalahgunaan dadah dan judi atas talian.
Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Dato Md Din Abu, berkata masih terdapat masalah disiplin di kalangan anggota Tentera Darat walaupun mereka berada dalam organisasi yang pentingkan disiplin.
Antara masalah disiplin di kalangan anggota juga termasuk penderaan anggota bawahan, tambah beliau.
“Masalah disiplin anggota yang terkini ialah menggunakan media sosial dengan melakukan perbuatan keji dan memalukan tentera.
“Ini terutama sekali peningkatan dalam penyalahgunaan dadah dan penglibatan dalam judi atas talian secara berleluasa,” katanya ketika perbarisan sempena hari ulang tahun 1 Divisyen Ke-53 di Kem Penrissen, di sini, hari ini.
Seramai 27 pegawai dan 605 anggota lain-lain pangkat menyertai perbarisan itu.
“Penderaan anggota bawahan juga berlaku dengan sewenangnya tanpa dikawal oleh pemerintah. Saya tidak akan bertolak ansur jika berlaku kejadian disiplin terbabit dan tindakan tegas akan diambil terhadap anggota yang terlibat dan diberhentikan dari perkhidmatan,” Md Din berkata.
Sehubungan itu, beliau berharap anggota pasukan 1 Divisyen untuk sama menjaga nama baik warga Tentera Darat.
Selain itu, beliau melahirkan rasa bangga dengan kejayaan yang dicapai 1 Divisyen tahun lepas, setelah membuat 122 tangkapan jenayah sempadan dengan nilai sitaan berjumlah RM1.5 juta, serta menjuarai pertandingan triathlon Tentera Darat.
Katanya, pasukan 1 Divisyen juga mendapat tempat pertama Anugerah Pengurusan Inovasi Tentera Darat bagi kategori pengurusan logistik divisyen dan penarafan lima bintang bagi pengurusan kewangan. — DayakDaily