Angin ribut terbangkan bumbung 8 rumah di Taman Sepakat Jaya

Kesan bumbung yang rosak akibat dilanda angin ribut.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Julai 3: Lapan buah rumah di Taman Sepakat Jaya terjejas akibat bumbung kediaman mereka diterbangkan angin ribut, petang tadi.

Kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu mengakibatkan empat rumah mengalami kerosakan teruk, manakala empat lagi mengalami kerosakan kecil.


Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak berkata, tiada kecederaan dilaporkan berlaku dalam kejadian berkenaan.

Katanya, akibat angin ribut itu bumbung dan kayu-kayu telah diterbangkan angin dan jatuh di sekitar kawasan perumahan.

Pihak APM memantau keadaan rumah yang terjejas.

“Tindakan segera diambil dengan mematikan sumber bekalan elektrik di rumah-rumah yang terjejas.

“Tiada penghuni yang dipindahkan dengan semua mangsa menetap sementara di kediaman saudara mereka,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, pihak APM telah mengalih atap serta kayu-kayu yang menganggu laluan pejalan kaki.

“Mangsa-mangsa yang terlibat telah mengambil inisiatif melaporkan kejadian tersebut kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk tindakan susulan,” katanya. — DayakDaily