Anggota tentera maut, terlibat kemalangan semasa konvoi bermotosikal

Kompilasi foto menunjukkan keadaan di lokasi kejadian.
Advertisement

KUCHING, 1 April: Konvoi sekumpulan penunggang motosikal berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka maut selepas berlaku kemalangan di Jalan Keruing, di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata kumpulan terbabit semasa kejadian dalam perjalanan pulang dari Pasir Pandak pada sekitar jam 9.40 malam.

Jelasnya, kemalangan berlaku apabila sebuah motosikal yang ditunggangi mangsa berusia 24 tahun dikatakan telah melanggar motosikal rakannya dari arah belakang.

Advertisement

“Semasa kejadian, mereka bersama beberapa rakan yang lain bergerak secara konvoi dan dalam perjalanan pulang dari Pasir Pandak menuju ke Kem Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Kota Samarahan.

“Siasatan awal mendapati, setiba di selekoh di Jalan Keruing, mangsa dikatakan melanggar belakang motosikal rakannya yang bergerak dari arah sama lalu terbabas.

“Akibat perlanggaran ini menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh paramedik dari Hospital Umum Sarawak (HUS).

“Mayat mangsa yang merupakan anggota TUDM itu kemudian dihantar ke Unit Forensik HUS, manakala rakannya yang cedera dikejarkan ke HUS untuk rawatan lanjut,” katanya.

Siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily

Advertisement