Anggota tentera ditangkap kerana disyaki menyamun seorang wanita akibat terdesak wang

Gambar komposit suspek dan barang yang dirampas.

KUCHING,28 Mac: Seorang anggota tentera ditangkap kerana disyaki terlibat dalam kes samun seorang wanita di Kota Sentosa, Jalan Batu 7, yang berlaku pada 12 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, suspek berusia 21 tahun itu ditangkap di kaki lima sebuah kedai di Kota Sentosa oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan sekitar jam 4.10 petang semalam.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku melakukan kegiatan samun tersebut kerana terdesak duit perbelanjaan tidak mencukupi.


Turut dirampas daripada suspek ialah sepasang kasut, sehelai seluar sukan, sebilah pisau pemotong kertas, satu beg sandang dan pelitup muka warna hitam.

Suspek sekitar jam 4.12 petang pada 12 Mac lalu disyaki telah merompak seorang mangsa wanita berusia 38 tahun.

Dikatakan suspek telah masuk ke dalam kereta mangsa melalui pintu belakang dan terus memaut leher mangsa sebelum mangsa bertindak mengigit lengan suspek dan turut membunyikan hon kereta.

Suspek kemudian melarikan diri bersama wang tunai RM26 yang diambil dari beg tangan mangsa.

Difahamkan suspek sedang menjalani kursus di sini sejak Januari lalu.

Suspek kini disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan. — DayakDaily