SIBU, Feb 7: Semua anggota tentera di negeri ini perlu memastikan mereka sudah memiliki rumah bagi didiami keluarga sebelum bersara dari perkhidmatan.
Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Stephen Mundaw berkata demikian dan menyarankan anggota tentera di negeri ini sebolehnya tidak bersara awal dari perkhidmatan sekiranya mereka masih belum memiliki sekurang-kurangnya sebuah rumah sendiri.
“Saya berkehendakkan setiap anggota (tentera) memiliki sebuah rumah apabila mereka telah menamatkan perkhidmatan nanti. Disamping itu juga, saya menyarankan kepada anggota tentera supaya tidak berpencen awal dan meneruskan perkhidmatan dari 21 ke 26 tahun,” katanya ketika melawat dan mengadakan sesi dialog dengan anggota tentera di Dewan Oya Lama, Batu 14, di sini, hari ini.
Keseluruhannya seramai 50 pegawai dan 400 anggota lain-lain pangkat dari Brigade Kesembilan Infantri Malaysia (Ninth Brigade) telah menghadiri sesi dialog itu yang juga dihadiri Panglima Ninth Brigade, Brigadier Jeneral Dato Dzulkafli Mustaffa dan Ketua Staf Markas Ninth Brigade, Leftenan Kolonel Jauhari Talib.
Stephen sehubungan itu meminta semua anggota tentera supaya memahami enam teras dasar utama iaitu kesiapsiagaan, diplomasi, pertahanan, keselamatan, kebajikan dan perumahan yang diberikan kerajaan kepada pegawai dan anggota tentera.
Sesi dialog itu juga menyaksikan beliau bersoal jawab dengan warga Ninth Brigade bagi menguji sejauh mana kefahaman pegawai dan anggota tentera darat tentang kemudahan yang diberikan kerajaan kepada mereka dan mendapatkan cadangan penambahbaikan perkhidmatan anggota tentera di masa hadapan. — DayakDaily