KUCHING, 21 Julai: Seorang anggota Rela mengalami patah tulang kaki kiri apabila dilanggar motosikal yang ditunggangi seorang remaja lelaki dalam cubaannya melarikan diri daripada sekatan jalan raya (SJR) semalam.
Ketua Polis Daerah Padawan Supt Aidil Bolhassan berkata anggota lelaki terbabit semasa kejadian bersama beberapa anggota polis dan seangkatannya melakukan pemeriksaan di sekatan jalan raya tersebut pada jam 8.15 malam.
Katanya, anggota bertugas kemudian menahan tiga buah motosikal sebelum satu daripadanya dikatakan meluru laju sehingga melanggar anggota Rela berusia 21 tahun terbabita.
“Akibat perlanggaran itu, anggota Rela terbabit terjatuh dan patah kaki manakala penunggang motosikal tersebut terjatuh dan mengalami luka ringan di siku dan lutut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata remaja berusia 15 tahun itu kemudian ditahan dan motosikalnya disita.
Aidil menambah suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Tapah untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Manakala, anggota Rela terbabit dihantar ke Hospital Umum Sarawak dan kini dilaporkan dalam keadaan stabil. — DayakDaily