Oleh Brad Rantayy
MIRI, 13 Jan: Perbuatan seorang anak yang tergamak mengacukan sebilah parang ke arah bapanya pada petang Rabu, membawa padah apabila dia ditangkap pihak polis untuk tindakan lanjut.
Tangkapan dibuat kurang daripada empat jam selepas kejadian.
Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, susulan dimaklumkan mengenai kejadian, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri menahan suspek untuk tindakan lanjut.
Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 4 petang di sebuah rumah di Kampung Tanjung Belipat Niah, suspek berusia 22 tahun itu dikatakan tiba-tiba mengamuk menggunakan sebilah parang dan mengacukannya ke arah leher bapanya.
Sebelum kejadian, suspek telah merosakan dinding rumah mangsa menggunakan parang yang sama.
Suspek ditangkap sekitar jam 8 malam hari yang sama dan kini sedang ditahan di lokap Balai Pokis Pusat Miri. — Dayakdaily