KOTA SAMARAHAN, 26 Mei: Seorang lelaki dilaporkan hilang dikhuatiri disambar buaya ketika cuba melepaskan jalanya yang tersangut di dalam sungai berdekatan Kampung Naie Lama, hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata mangsa dikenali sebagai Allister Rabanie, 30 tahun, semasa kejadian bersama bapa dan bapa saudaranya menjalan ikan sekitar jam 10.30 pagi.
Jelasnya, mangsa terpaksa menyelam ke dalam sungai apabila jalanya dikatakan tersangkut dan dia kemudian terus hilang.
“Jala mangsa tersangkut dan mangsa melakukan penyelaman bagi melepaskan jala tersebut, namun dia terus hilang dan kejadian disedari oleh bapanya yang berada beberapa meter dari lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, bapa mangsa berusaha membantu anaknya namun tidak berjaya dan mangsa terus hilang dari penglihatannya.
Tambahnya juga, mangsa dikatakan mengikat tali jala di pergelangan tangannya.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dilancarkan sebaik sahaja laporan berhubung kejadian diterima.
Turut menyertai operasi ialah polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Rela dan Samarahan Crocodile Hunter serta penduduk kampung.
Operasi SAR hari ini ditangguhkan pada jam 6.16 petang dan akan disambung semula esok. — DayakDaily