Anak durjana rompak ibu kandung diberkas

Royal Malaysia Police logo

BINTULU, Sept 23: Anak durjana. Begitulah yang boleh disifatkan terhadap seorang lelaki yang sanggup mencederakan ibunya dalam satu kejadian rompakan di taman perumahan Tanjung Kidurong di sini pada Sept 19 lalu.

Lelaki berkenaan kemudian berjaya ditangkap sepasukan anggota polis pada pukul 2.15 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Bintulu, SUPT Zulkipli Suhaili berkata, suspek berusia 36 tahun diberkas di sebuah terminal bas di sini.


Katanya, sewaktu tangkapan, beberapa dokumen dan barangan milik mangsa juga telah ditemui bersama dengan suspek.

“Ujian awal saringan air kencing juga mendapati saspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Dengan tangkapan ini, pihak polis percaya dapat menyelesaikan kes yang disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya di sini hari ini.

Zulkipli menambah, suspek akan dibawa ke Mahkamah Bintulu untuk permohonan reman untuk siasatan lanjut.

DayakDaily sebelum ini melaporkan malang menimpa seorang wanita warga emas apabila dia cedera parah selepas bergelut dengan perompak di sebuah rumah di Jalan Tanjung Kidurong di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, wanita berusia 61 tahun tersebut cedera parah di bahagian mukanya.

Siasatan awal polis mendapati semasa kejadian mangsa berada di rumah berkenaan seorang diri dan sedang tidur.

Wanita berkenaan kemudian menyedari kehadiran pencerobohan itu selepas terdengar bunyi bising dari ruang tamu kediamannya.

Mangsa yang menyedari kehadiran perompak itu kemudian menegur tindakan suspek.

Perompak yang terkejut dengan kehadiran wanita berkenaan kemudian bertindak menutup muka mangsa dan mangsa kemudian cuba bertindak balas dengan bergelut dengan suspek.

Semasa pergelutan itu, bahagian muka mangsa kemudian terkena objek tajam hingga menyebabkan dia mengalami kecederaan parah.

Suspek panik melihat mangsa mengalami kecederaan parah and terus melarikan diri. — DayakDaily