Alim kekalkan jawatan pengerusi BAMA

Alim (depan, tengah) bersama semua ahli jawatankuasa BAMA yang baharu dilantik dalam Mesyuarat Tritahunan persatuan itu di bangunan DBNA, Kuching.

KUCHING, 9 Jan: Dr Alim Impira terus mengekalkan jawatannya sebagai Pengerusi Bidayuh Artistes And Musicians Association Sarawak (BAMA) pada Mesyuarat Tiga Tahun (TGM) persatuan itu di sini hari ini.

Beliau yang merupakan bekas Timbalan Pengarah Kastam Diraja Malaysia, Sabah akan menjawat jawatan itu untuk tempoh tiga tahun akan datang.

Pengekalan Alim bagi mengekalkan jawatannya sebagai Pengerusi persatuan tersebut mendapat sokongan sebulat suara semua ahli yang hadir pada mesyuarat berkenan.


Alim dalam ucapan ringkasnya pada mesyuarat berkenaan mengingatkann semua ahli jawatankuasa yang dilantik bahawa tugas berat menanti mereka dalam usaha meningkatkan taraf industri muzik masyarakat Bidayuh.

Katanya, BAMA merupakan sebuah badan bukan kerajaan serta merupakan sebuah pertubuhan sukarela dan segala kerja-kerja berkaitan persatuan terbabit merupakan tugas kesukarelawan.

Dr Alim Impira

Justeru beliau berterima kasih kepada semua ahli persatuan terbabit ke atas semua kerja-kerja kesukarelawan yang telah mereka laksanakan untuk persatuan itu.

“Dalam melaksanakan tugas anggota Exco dipandu sepenuhnya oleh Perlembagaan Persatuan dan mesti mengetahui sepenuhnya objektif utama BAMA, iaitu untuk mewakili dan mempromosikan kepentingan artis dan pemuzik pertunjukan Malaysia yang berasal dari Bidayuh.

”Anggota Exco haruslah berkhidmat dengan tahap integriti tertinggi dan saya percaya bahawa dengan pemahaman dan kerjasama yang lebih baik, ahli Exco yang baru akan dapat menjalankan tugas dengan cemerlang,” katanya.

Turut mengekalkan jawatan masing-masing pada mesyuarat itu, Bendaharinya, Jenny Kuwak dan dua Ahli Juawatankuasa Biasanya, Morgan Deo dan Jiram Mijong.

Pada mesyuarat itu juga, Dihed Tommy dan Hendrix Lewis yang sebelum ini merupakan Ahli Exco Biasa turut dilantik memegang jawatan Timbalan Pengerusi dan Setiausaha bagi persatuan terbabit.

Mesyuarat itu turut menyaksikan pelantikan tujuh ahli baharu dilantik untuk menjawat jawatan penting dalam persatuan terbabit.

Antaranya, Julian Evan sebagai Penolong Setiausaha, Suria Dani sebagai Penolong Bendahari manakala Collin Michael Duk, Calvin Jaidi, Stephanie Uok, Jessica Uok dan Mike Robert pula dilantik sebagai Ahli Exco biasa persatuan tersebut.

Mesyuarat yang berlangsung sekitar jam 9.30 pagi tadi  turut bersetuju untuk melantik semula Richmond Allan Morshidi sebagai Penasihat persatuan terbabit selain Clement Mboh sebagai Pegawai Audit Persatuan. — DayakDaily