Abang Johari: Jalan Padawan-Tebedu akan dilaksanakan tahun hadapan

Abang Johari (tiga dari kanan) menyaksikan klip video projek pada majlis pelancaran di Tapah hari ini (15 Ogos, 2020).

Oleh Chris Bishop

PADAWAN, 15 Ogos: Kerajaan berhasrat untuk melaksanakan cadangan projek jalan penghubung dari Annah Rais, Padawan ke Tebedu pada 2021, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Justeru, ketika ini beliau tidak dapat berjanji untuk melaksanakan projek tersebut kerana kerajaan negeri pimpinan beliau dibawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menghadapi pilihan raya Negeri selewat-lewatnya tahun hadapan.


Abang Johari berkata demikian pada Majlis Pelancaran Projek Menaiktaraf Jalan Padawan (Fasa 1) di Dewan Serba Guna Tapah disini, hari ini.

Tambah beliau, projek tersebut akan menghubungkan Kampung Annah Rais, Sadir, Tepoi dan Temong di Tebedu sejauh 20 km, akan menelan kos sebanyak RM197 juta.

Pada masa yang sama, Ketua Menteri juga menyeru masyarakat Bidayuh di Serian khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tarat, Mambong dan Tebedu untuk terus bersatu di dalam GPS demi meneruskan pembangunan yang telah kerajaan rancang.

Berhubung Projek Menaiktaraf Jalan Padawan, beliau berkata Fasa 2 projek tersebut yang menghubungkan Teng Bukap ke Annah Rais akan diteruskan.

Katanya, kerajaan akan menyediakan peruntukan sebanyak RM30 juta lagi untuk pelaksanaan fasa 2 projek.

“Sebenarnya, Projek Menaiktaraf Jalan Padawan ini adalah tanggungjawab kerajaan pusat dengan peruntukkan daripada kerajaan pusat.

“Tetapi, setelah kerajaan bertukar, Pakatan Harapan (PH) telah membatalkan projek ini.

“Oleh yang demikian, ketika itu kerajaan negeri telah mengambil alih projek ini dengan menyediakan peruntukan,” kata Abang Johari.

Fasa 1 projek dengan kos bernilai RM34.9 juta telah bermula pada 20 September, 2019 dan dijangka siap pada 11 September, 2022.

Objektif projek adalah untuk membina jalan dua hala bertaraf R3 sepanjang lebih kurang 15 km dari Simpang Padawan di Tapah ke Teng Bukap dengan kelebaran jalan sebanyak 6.5 meter.

Ia melibatkan pengalihan utiliti, kerja-kerja tanah, cerun, sistem perparitan, membina dan membaiki persimpangan dan pemasangan papan tanda jalan serta penghadang jalan.-DayakDaily