Alice Jawan Empaling dilantik Anggota Suruhanjaya Penerbangan Malaysia yang terbaharu

Dato Alice Jawan Empaling

KUCHING, 11 April: Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak Dato Ir. Alice Jawan Empaling dilantik sebagai Anggota Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) yang terbaharu.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook dalam satu kenyataan hari ini berkata, pelantikan Alice adalah bagi tempoh tiga tahun, berkuat kuasa dari 28 Mac 2023 hingga 27 Mac 2026.

“Pengalaman luas dan semangat dalam perkhidmatan beliau kepada rakyat akan memainkan peranan penting untuk memacu industri penerbangan Malaysia ke hadapan.


“Ini seiring dengan usaha bagi membangunkan industri penerbangan awam yang berdaya maju dari segi komersial serta responsif kepada keperluan rakyat.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Perdana Menteri atas pengesahan dan sokongan yang diberi mengenai pelantikan Alice,” kata Loke.

Dalam pada itu, Alice turut memegang beberapa jawatan Pengurusan Kanan dan Lembaga Pengarah di negeri Sarawak.

Ini termasuk memainkan peranan sebagai Pengerusi Lembaga Boya dan Api Sarawak, Pengerusi Eksekutif Majlis Keselamatan Jalan Raya Sarawak dan Timbalan Pengerusi Lembaga Sungai-Sungai Sarawak.

Alice juga merupakan ‘Adjunct Professor’ di Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) sejak 2021. — DayakDaily