Ali Biju dikompaun RM4,000, tidak patuh SOP hari penamaan calon

Datuk Ali Biju

KUCHING, 8 Dis: Calon bebas di Krian, Saratok, Datuk Ali Biju dikompaun RM4,000 kerana tidak mematuhi prosedur operasi ‘standard’ (SOP) yang ditetapkan semasa hari penamaan calon untuk Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) pada Isnin (6 Dis) lepas.

Perkara tersebut disahkan oleh Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato’ Aidi Ismail.

Beliau yang dipetik berkata, calon terbabit yang merupakan Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli didatangi sekumpulan penyokongnya selepas selesai proses penamaan calon di Dewan Masyarakat Sri Krian, Saratok.


Ali yang juga penyandang kerusi itu, berdepan saingan empat penjuru daripada Musa Dinggat (Parti Sarawak Bersatu), Danny Kuan (Parti Bumi Kenyalang) dan Friday Belik (Gabungan Parti Sarawak) dalam PRN12 kali ini.

Beliau sebelum ini memenangi DUN Krian ketika bersama Parti Keadilan Rakyat pada 2011 dan 2016.

Beliau kemudian menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). — DayakDaily