Perais mohon tangguh sesi persekolahan di zon merah dan jingga Covid-19

Rapelson Richard Hamit

KUCHING, 28 Mac: Persatuan Anak Istimewa Sarawak (Perais) mohon agar kerajaan menangguhkan sesi persekolahan di kawasan zon merah dan jingga pandemik Covid-19.

Presidennya Rapelson Richard Hamit berkata, ia berikutan terdapatnya murid yang dikesan positif Covid-19 di kawasan Siburan, iaitu melalui Kluster Batu Gong.

“Penangguhan sesi persekolahan di zon merah dan zon jingga harus dipertimbangkan sehingga kembali menjadi zon hijau.


“Ini bagi memastikan keselamatan dan kesihatan guru-guru dan pelajar terjamin selain membantu mengekang penularan wabak Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Rapelson, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) telah dilaksanakan di Kampung Batu Gong Baru dan Lama bermula 26 Mac sehingga 8 April 2021 setelah lebih 50 orang penduduk kampung didapati positif untuk Covid-19. — DayakDaily