Pekerja kilang ais cemas, bahagian simpanan gas acetylene terbakar

Anggota bomba berusaha memadam kebakaran.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Dis 13: Para pekerja di sebuah kilang ais cemas apabila bahagian simpanan gas acetylene di kilang berkenaan terbakar, hari ini.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 10.50 pagi itu, tiada laporan kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya, Faizal Saari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 10.51 pagi.

Jelasnya, sepasukan anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi memadam kebakaran.


“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati api marak di bahagian simpanan gas acetylene di kilang ais berkenaan.

“Anggota bomba kemudian bertindak membuat proses penyejukan di kawasan tersebut serta memadamkan kebakaran yang menjejaskan struktur bangunan kilang itu,” katanya di sini hari ini.

Faizal menambah, peratusan kebakaran kilang berkenaan adalah kira-kira 40 peratus.

“Buat masa ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam proses siasatan,” katanya. — DayakDaily