Akibat panik, posmen lesap RM3,250

PDRM logo.

Oleh Dean Adam

KUCHING, 27 Okt: Gara-gara panik waran tangkap akan dikeluarkan ke atas dirinya, seorang posmen lesap wang berjumlah RM3,250 akibat ditipu sindiket ‘Macau Scam’, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah, berkata kejadian yang dilaporkan itu melibatkan seorang lelaki berusia 50 tahun.


Jelasnya, berdasarkan laporan diterima, mangsa telah menerima panggilan telefon
daripada seorang lelaki kononnya dikenali sebagai Sarjan Fuad.

“Suspek kemudian mendakwa kad Maybank mangsa telah digunakan untuk kegiatan penggubahan wang haram oleh orang yang kena tangkap bernama Dennis Tan.

“Seterusnya, suspek meminta mangsa untuk membayar sejumlah wang bagi menyelesaikan kes berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mustafa berkata suspek juga mengugut waran tangkap ke atas mangsa akan dikeluarkan sekiranya mangsa tidak membayar wang sebanyak RM3,250.

Akibat panik dan takut ditangkap, mangsa kemudian memasukkan wang sebanyak RM3,250 ke dalam akaun suspek bernama Mohd Fuad Abdullah.

“Mangsa mula menyedari bahawa dia telah ditipu selepas suspek gagal dihubungi selepas dia memasukkan wang.

“Selepas itu, mangsa kemudian membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. — DayakDaily