Akibat duduk di tengah jalan, lelaki maut dirempuh kereta

Mangsa maut selepas dirempuh kereta di KM3, Jalan Ulu Layar.

BETONG, Feb 11: Seorang lelaki maut selepas dirempuh kereta apabila dipercayai duduk di tengah jalan di KM3, Jalan Ulu Layar di sini malam tadi.

Kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu mengakibatkan, mangsa, Peter Nyandang, 48, disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt. Alexson Naga Chabu berkata, pemandu kereta iaitu seorang wanita berusia 25 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurut beliau, nahas tersebut telah mengakibatkan mangsa terperosok di bawah kereta tersebut.

“Siasatan awal mendapati wanita yang memandu kereta itu tidak sempat mengelak daripada merempuh mangsa.

“Keadaan yang gelap ditambah dengan mangsa duduk di tengah jalan mengakibatkan pemandu itu tidak sempat memberhentikan kenderaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Alexson memberitahu, mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Betong untuk tindakan lanjut

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. — DayakDaily