KUCHING, 24 Julai: Akhirnya Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen melaksanakan tugas beliau sebagai wakil rakyat, kata Timbalan Premier Dato Sri Dr Sim Kui Hian.
Dr Sim mengulas berhubung kenyataan Chong yang juga Pengerusi DAP Sarawak bahawa dana RM100 juta yang dijanjikan oleh Perdana Menteri sudah disalurkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak.
Dana tersebut bertujuan bagi memperbaiki dan menaik taraf sekolah dan klinik usang di negeri ini, dan dijanjikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 22 Jun lalu.
“Apabila dana ini sudah disalurkan kepada JKR, maka ia adalah bagus dan bukankah ia adalah tanggungjawab beliau (Chong) sebagai ahli parlimen.
“Saya Adun saja. Jika anda dengar semula rakaman suara saya, saya cuma kata belum diterima, tidak lebih dari itu,” katanya.
Dr Sim berkata demikian ketika ditemui di Perasmian Hari Integriti Kementerian Kesihatan Awam Dan Kerajaan Tempatan di Kuching hari ini.
Sementara itu, beliau yang juga Adun Batu Kawa menyifatkan Chong sengapa mempolitikan isu tersebut untuk meraih publisiti. — DayakDaily