AIM tangguhkan kutipan bayaran pinjaman sepanjang tempoh PKP/PKPB

Fatimah pada sidang media di Kuching hari ini (25 Jan, 2021).
Advertisement

KUCHING, 25 Jan: Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menangguhkan kutipan bayaran balik pinjaman di kawasan-kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat di Sarawak mulai 20 Januari.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak (KWKPK) Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata penangguhan tersebut berkuatkuasa sehingga perintah ditarik balik.

Katanya, sebelum ini beliau telah menerima surat permohonan penangguhan daripada 1,043 peserta AIM di kawasan Dalat yang melibatkan 27 buah kampung.

Advertisement

“Mereka memohon supaya pembayaran balik pinjaman yang dibuat setiap minggu ditangguhkan.

“Sebab semasa PKP, premis atau tempat mereka berniaga seperti Bazaar Dalat, Pekan Sabtu dan Pasar Minggu tidak beroperasi.

“Dengan pergerakan yang terhad, mereka sukar untuk berniaga dan memperolehi pendapatan,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurut Fatimah, peserta AIM Sarawak telah merekodkan prestasi cemerlang dengan kadar pembayaran balik pinjaman adalah 99 peratus.

Justeru katanya, kementerian berhasrat untuk mengadakan kerjasama dengan AIM demi mencapai objektif agensi.

Ujar beliau, kerjasama itu diharap dapat meningkatkan lagi pendapatan peserta.

“Kerjasama ini bukan sahaja untuk memastikan peserta AIM ini dapat membayar balik hutang.

“Kita inginkan kerjasama ini dapat meningkat pendapatan dan memastikan peserta keluar dari garis kemiskinan,” katanya.

Selain penangguhan pembayaran pinjaman, semua Mesyuarat Pusat AIM yang melibatkan peserta di kawasan dibawah pelaksanaan PKP dan PKPB juga ditangguhkan.

Dalam tempoh tersebut, hanya kutipan bayaran balik melalui kaedah e-pay (CMCCS) sahaja yang dibenarkan.

Sehingga 2020, AIM telah menyediakan sejumlah RM169,471,100 pinjaman kepada peserta-peserta di seluruh Sarawak.

Turut hadir pada sidang media Penolong Pengurus Wilayah AIM Wilayah Sarawak Selatan Jemat Itu Bujang. — DayakDaily

Advertisement