Covid-19: 3,048 kes baharu dan 11 kematian

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUCHING, 25 Jan: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa terdapat 3,048 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan 3,040 kes tempatan dan lapan kes import.

“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 186,849 kes.


“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 41,076 kes,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Selangor melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 1,035 kes. Ini diikuti oleh Johor sebanyak 529 kes dan Sabah sebanyak 348 kes.

Tambah Dr Noor Hisham, terdapat sebanyak 3,638 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 145,084 kes atau 77.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 261 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi(ICU) termasuk 101 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan terdapat pertambahan 11 kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan 689 kes.

“Dukacita dimaklumkan terdapat 11 kes kematian dilaporkan hari ini melibatkan 10 kes warganegara dan satu bukan warganegara.

“Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan tiga kes dari Sabah, masing-masing dua kes dari Selangor dan Sarawak, dan satu kes masing-masing di Kelantan, Pahang, Perak, dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka,” ujar beliau.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan terdapat 13 kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini yang melibatkan lapan kluster berkaitan tempat kerja, tiga kluster komuniti dan dua kluster yang melibatkan kumpulan berisiko. — DayakDaily