Ahli PBB digesa menyedarkan orang ramai tentang sumbangan Najib

Abang Johari (tengah) menyanyi bersama pemimpin PBB ketika ketika menghadiri Majlis Penghargaan Sempena Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak Ke-14, di Kuching baru-baru ini.
Advertisement

KUCHING, 15 Mac: Ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) diminta memberikan penjelasan kepada rakyat Sarawak mengenai perbezaan sumbangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap negeri ini diberbandingkan dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjelang Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14).

Ketua Menteri yang juga Presiden PBB Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata demikian kerana sumbangan kedua-dua pemimpin adalah jauh berbeza disamping bekas Perdana Menteri kali ini akan menjadi ketua bagi pakatan parti pembangkang.

“Dalam pilihanraya ini, kita (ahli PBB) di Sarawak mengambil kira sumbangan diberi Datuk Seri Najib, kalau banding semula dengan Dr Mahathir, kerana Dr Mahathir akan menjadi ketua bagi Pakatan Harapan,” katanya ketika menghadiri Majlis Penghargaan Sempena Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak Ke-14, di sini, baru-baru ini.

Advertisement

Abang Johari berkata yang paling ketara adalah sumbangan Najib terhadap mengembalikan hak negeri ini dengan pemimpin tersebut dengan terbuka mengatakan hak negeri ini yang sengaja atau tidak sengaja terhakis akan dikembalikan kerajaan pusat.

“Sebelum ini, kalau hendak berkata mengenai ini atau menuntut hak terhadap sumber minyak kita adalah sesuatu amat ditakuti, kerana takut dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Kalau saya berkata mengenai semua perkara ini (dahulu) dan siap dah, ‘bye-bye’ dengan bini saya,” katanya.

Tambah Abang Johari, perbezaan sumbangan kedua-dua pemimpin berkenaan adalah dari segi desentralisasi atau memberikan kuasa pemerintahan kepada negeri, dengan pemimpin Pakatan Harapan terbabit ketika berkuasa lebih sebaliknya terhadap negeri ini apabila pernah cuba mengambil alih kuasa kerajaan negeri terhadap pihak berkuasa bekalan elektrik tempatan.

“Dahulu beliau mahu mengambil alih Perbadanan Pembekalan Letrik Sarawak (SESCO); itu bukan desentralisasi tetapi lebih kepada pemusatan. Nasib pemimpin PBB dan negeri ketika itu, meminta kerajaan pusat membayar ganti rugi(mengambil alih SESCO) sebanyak RM1 bilion,” katanya.

Katanya kerana tiada sumber kewangan mencukupi, SESCO tidak dapat diambil alih dan kekal dibawah kerajaan negeri sehingga kini tetapi pihak berkuasa pembekalan elektrik di Sabah telah dapat diambil alih kerana dalam keadaan yang teruk.

Menurutnya ini berbeza dengan Najib yang terus bersetuju supaya Empangan Hidro Elektrik Bakun diambil alih kerajaan negeri setelah beliau yang baru tiga bulan menjadi Ketua Menteri telah memohonnya kerana empangan terbabit adalah lebih baik diuruskan negeri ini.

“Sebab itulah ketika kita sekarang ini menjadi pemilik Empangan Bakun, kerana desentralisasi (Perdana Menteri) amat praktikal,” katanya.

Abang Johari berkata Dr Mahathir ketika berkuasa juga lebih kepada pemusatan dan bukan desentralisasi setelah mahu semua bank di negara ini bergabung dan ini menjadi punca banyak bank di negeri ini telah bergabung dengan bank lain.

“Akhirnya semua bank kita kena telan, kita tiada lagi bank, disebabkan polisi rejim kewangan itu adalah pemusatan, tapi kini beliau bercakap mengenai desentralisasi, siapa mahu percayakan beliau lagi,” katanya.

Sehubungan itu, Abang Johari mahu ahli parti itu menerangkan fakta perbezaan tersebut kepada penduduk negeri ini ketika berkempen nanti dan bukan berkempen mengunakan emosi semata-mata. ā€” DayakDaily

Advertisement