Ahli Parlimen PBB sedia isytihar harta – Fadillah

Fadillah dan Sharifah Hasidah mengagihkan bubur cha-cha kepada orang ramai.

KUCHING, 24 Mei: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) tidak mempunyai sebarang masalah untuk mematuhi saranan supaya semua Ahli Parlimennya mengisytiharkan harta mereka.

Naib Presiden Kanan PBB Datuk Seri Fadillah Yusof berkata parti tersebut masih menunggu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengeluarkan format pengisytiharan harta bagi rujukan PBB dan parti-parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang lain.

“Kami (Ahli Parlimen PBB) tiada masalah, GPS juga tiada masalah kerana kami di Sarawak dari dahulu sudah ada kerjasama dengan SPRM.


“Kini, kami hanya menunggu butiran format pengisytiharan harta itu dari mereka,” katanya ketika menghadiri acara agihan bubur cha-cha di hadapan Masjid Ikhwanul Islam di Taman Sukma, di sini, hari ini.

Turut hadir adalah Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Undang-undang, Hubungan Negeri-Persekutuan dan Pemantauan Projek) Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Fadillah, yang juga merupakan Ketua Whip Parlimen GPS, berkata semua Ahli Parlimen PBB dan GPS sebelum ini juga sudah menyerahkan pengisytiharan harta kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, yang akan menyerahkan kepada SPRM setelah butiran format diketahui.

“Kini hanya menunggu format dari SPRM mengenai apa harta yang mesti diisytiharkan dan segala bahagian butiran lain,” kata Ahli Parlimen Petra Jaya tersebut.

Beliau mengulas mengenai pengumuman Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, di mana Pusat Governans Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) telah menyarankan semua menteri, timbalan menteri dan anggota pentadbiran kementerian supaya mengisytiharkan harta kepada SPRM.

Ia juga akan dipanjangkan kepada semua anggota Parlimen pembangkang. — DayakDaily