Ahli lembaga pelawat Hospital Kanowit daripada golongan profesional, politik dan NGO

Ahli-ahli Lembaga Pelawat Hopital Kanowit yang telah bermesyuarat buat kali pertama.

KANOWIT, 6 Sept: Seramai 10 individu dari pelbagai agensi termasuk badan-badan bukan kerajaan (NGO), parti politik dan golongan profesional telah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pelawat Hospital Kanowit.

Tempoh lantikan mereka, menerusi Kementerian Kesihatan, ialah selama dua tahun dari 1 Januari, 2019, hingga 31 Disember, 2020.

Ahli lembaga Hospital Kanowit yang baru adalah Caroline Bujum, Siaw Siew San, Nguang Jing Hing, Felecia Chua Woung Lin, Davis Willy Entili, Yung Chung Hie, Bob Baxter Mampi, Fintian Jekulias, Stony Abel Andin dan Nancy Runggol.

“Ahli-ahli lembaga pelawat telah berjaya mengadakan mesyuarat pertama kali dan memilih jawatankuasa lembaga pada mesyuarat tersebut. Jawatan pengerusi dijawat oleh Caroline, Nguang dilantik sebagai setiausaha manakala bendahari dijawat oleh Chua,” menurut kenyataan.

Fungsi dan tugas ahli Lembaga Pelawat ialah penghubung antara hospital dan komuniti.

“Ahli-ahli lembaga juga memainkan peranan perhubungan awam yang positif dengan memberi penerangan yang jelas kepada orang awam mengenai kemudahan-kemudahan dan perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan oleh pihak hospital, serta masalah-masalah yang dihadapi oleh pihak hospital dalam memberi perkhidmatan kepada orang ramai.” — DayakDaily