This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 28 Ogos: Agro pelancongan satu fenomena global yang menghubungkan aktiviti pertanian dengan pelancongan, kata Menteri Industri Makanan, Komoditi Dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom.
Katanya, ia memberi pelbagai pengalaman yang mendekatkan pengunjung dengan pengeluar hasil pertanian.
“Konsep dari ladang ke meja makan bukan sekadar meningkatkan pendapatan peladang tetapi membantu mengurangkan kos makanan selain memastikan kualiti terjamin.
“Agro pelancongan juga memberi pilihan kepada peladang untuk mempelbagaikan aktiviti yang boleh menjana pendapatan.
“Ia adalah landasan kepada usahawan tempatan untuk terlibat dalam bidang pertanian seterusnya menjamin keselamatan makanan,” kata Dr Rundi dalam ucapan aluan di Persidangan Dan Expo Sarawak Agro Pelancongan (SAtCE) 2023 di Pusat Konvensyen Borneo (BCCK) hari ini.
Persidangan telah dirasmikan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah.
Tambah Dr Rundi, agro pelancongan membantu masyarakat luar bandar dengan pelbagai peluang perniagaan dan pekerjaan.
Katanya, ia mampu mentransformasi kawasan luar bandar sebagai kawasan tumpuan utama.
“Kita memiliki tanah yang luas serta pelbagai hasil pertanian, dengan pengetahuan dan kepakaran kita mampu menjadikanya sebagai satu kawasan agro pelancongan,” kata Dr Rundi.
SAtCE 2023 yang berlangsung mulai 28 hingga 29 Ogos disertai lebih 200 peserta dan 200 pempamer. — DayakDaily