KUCHING, 13 SEPTEMBER: Malaysia antara negara dengan kadar vaksinasi terpantas di dunia, titah Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billal Shah.
Seri Paduka Baginda bertitah, pencapaian tersebut merupakan hasil daripada kejayaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan Program Imunisasi Industri Covid-19 kerjasama di antara awam dan swasta.
“Kini, hampir 75 peratus pekerja sektor pembuatan yang berdaftar dengan program imunisasi industri telah menerima vaksinasi lengkap.
“Ini telah membantu meningkatkan produktiviti di sektor pengilangan dan pembuatan,” titah Seri Paduka pada Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Parlimen ke-14 hari ini.
Justeru tambah baginda, rakyat hendaklah jangan cepat terleka dan berpuas hati serta usaha hendaklah diteruskan bagi mengekang penularan jangkitan terutamanya dengan kemunculan pelbagai varian baharu.
Sehubungan itu, Baginda menyeru kerajaan untuk terus berusaha menurunkan kes jangkitan harian Covid-19 dan mencapai imuniti kelompok dengan segera.
“Menyedari hakikat tersebut, strategi “whole-of society effort” perlu dipergiatkan dengan naratif komunikasi yang berkesan.
“Beta mengalu-alukan usaha kerajaan dalam memperkasa “Agenda Nasional Malaysia Sihat” dalam mendidik Keluarga Malaysia untuk hidup bersama virus ini.
“Menerusi pendekatan ini, rakyat akan berasa yakin untuk menerima dan menyesuaikan diri dengan senario Covid-19 sebagai endemik yang bersifat kekal dan menjadi sebahagian daripada kehidupan kita,” titah Baginda.
Al Sultan Abdullah bertitah, negara kini berada di atas landasan yang kukuh dalam menangani pandemik Covid-19 menerusi pembentukan Majlis Pemulihan Negara dan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan serta pakej bantuan kewangan dan rangsangan ekonomi kepada rakyat.
Baginda menghargai usaha berterusan kerajaan dalam melaksanakan pelbagai strategi bagi menangani pandemik covid-19 serta impaknya terhadap aspek ekonomi, sosial dan kesejahteraan rakyat.
“Manakala, peratus kes sembuh Covid-19 di negara kita adalah tinggi dan majoriti kes baharu pula adalah tergolong dalam kategori 1 dan 2,” titah Al Sultan Abdullah. — DayakDaily