Amal demokrasi bermusyawarah, titah Agong

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


KUCHING, 13 Sept: Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihatkan semua pihak mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa jua permasalahan.

Al-Sultan Abdullah menyambut baik keterbukaan kerajaan dengan memberi peluang kepada pelbagai pihak termasuk ahli Parlimen untuk melibatkan diri dalam tadbir urus negara.

“Beta turut menyambut baik dan amat menghargai usaha-usaha ke arah merialisasikan pendekatan baharu kerjasama dwi-partisan antara semua pihak yang bakal membentuk lanskap politik baharu dan membawa perubahan dalam sistem pentadbiran negara.


“Kematangan seperti inilah yang didambakan oleh seluruh rakyat beta. Sesungguhnya yang menang tidak menang semua dan yang kalah tidak kalah semua.

“Hanya menerusi perpaduan, kesepakatan dan kebersamaan yang erat bagaikan sebuah “Keluarga Malaysia” sahajalah kita akan dapat mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan yang bakal di-tempuh,” titah Seri Paduka Baginda pada Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Parlimen ke-14 hari ini.

Al-Sultan Abdullah bertitah, kerajaan yang baru dibentuk hendaklah segera melipat gandakan usaha untuk memerangi pandemik Covid-19.

Seterusnya, titah Seri Paduka Baginda, kerajaan akan membawa negara serta rakyat keluar dari ancaman pandemik ini.

“Menerusi amalan budaya kerja berprestasi tinggi dan tumpuan untuk mencapai sasaran jangka pendek dan panjang, Beta percaya kerajaan ini mampu membuktikan pencapaian awalnya dalam tempoh 100 hari pertama,” titah Seri Paduka Baginda. — DayakDaily