Agong: Sokongan 114 ahli parlimen kepada Ismail tanpa paksaan

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

KUCHING, 13 SEPTEMBER: Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billal Shah berpuas hati bahawa sokongan 114 ahli parlimen terhadap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri adalah dengan kerelaan serta tanpa sebarang paksaan.

“Amanah berat untuk memilih dan melantik Perdana Menteri ke-9 telah Beta laksanakan dengan berpandu kepada Perlembagaan Persekutuan.

“Selaras dengan konsep Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen, Beta telah memberi peluang kepada semua 220 orang ahli-ahli Dewan Rakyat untuk menamakan menerusi surat akuan seorang ahli Dewan Rakyat yang diberi kepercayaan untuk dilantik sebagai perdana menteri.


“Menerusi surat-surat akuan tersebut, Beta mendapati seramai 114 ahli Dewan Rakyat telah memberi kepercayaan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Setelah menerima menghadap semua 114 ahli Dewan Rakyat tersebut, Beta telah berpuas hati bahawa kepercayaan yang diberikan kepada Ahli Parlimen Bera (Ismail) adalah dengan kerelaan mereka sendiri tanpa sebarang paksaan,” titah Al Sultan Abdullah.

Yang di-Pertuan Agong bertitah demikian dalam Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Majlis Parlimen Ke-14 2021 hari ini.

Seri Paduka bertitah, jumlah tersebut adalah merupakan jumlah majoriti yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Justeru tambah Seri Paduka, selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri ke-9.

Dalam pada itu, Seri Paduka menzahirkan penghargaan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri sebelum ini dan barisan Jemaah Menteri yang telah menerajui pentadbiran negara mengharungi cabaran pandemik Covid-19. — DayakDaily