Agong isytihar darurat sehingga 1 Ogos 2021

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah and Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar.

KUCHING, 12 Jan: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah lewat semalam telah memberi perkenan kepada Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19.

YDPG Al Sultan Abdullah turut memberi perkenan untuk tempoh pelaksanaan darurat ini sehingga 1 Ogos, 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Menurut Pengelola Datuk Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, perkenan diberikan setelah Perdana Menteri Tan Seri Muhyiddin Yassin menyembah maklum keputusan Mesyuarat Jemaah Kabinet dan mengambil kira rundingan Seri Paduka Baginda dengan Raja-Raja Melayu.


“Perkenan ini turut mengambil kira keselamatan diri rakyat dan kepentingan negara.

“Ianya juga berdasarkan statistik semasa Covid-19, khususnya kekangan kemudahan-kemudahan logistik mengikut negeri-negeri yang telah
dipersembahkan semasa sesi taklimat tersebut,’ kata Ahmad Fadil.

Tambah beliau, Al-Sultan Abdullah turut berkenan terhadap cadangan Kerajaan bagi pembentukan satu Jawatankuasa Bebas yang akan dianggotai oleh Ahli-ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkait.

Katanya Jawatankuasa Bebas ini akan mengesyorkan kepada Seri Paduka Baginda sekiranya pelaksanaan darurat ini dapat ditamatkan lebih awal.

“Al Sultan Abdullah menzahirkan rasa kegusaran terhadap kesan bencana banjir dan kenaikan mendadak angka jangkitan Covid-19 di negara ini.

“Sekiranya tidak dibendung dan dikawal dengan berkesan, maka ianya akan memudaratkan kesihatan rakyat dan kesejahteraan negara.

“Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah menasihati rakyat supaya bertenang, tabah dan cekal menghadapi pelaksanaan darurat ini dan Perintah Kawalan Pergerakan demi keselamatan dan kepentingan bersama,’ ujar Ahmad Fadil lagi.

Dalam pada itu katanya, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan agar vaksin Covid-19 yang bakal diterima kelak akan melandaikan keluk pandemik, sekali gus memutuskan transmisi Covid-19 di Malaysia.- DayakDaily