Agensi Pembangunan Kawasan Pesisir dicadang diwujudkan

Julaihi(kanan) pada sidang media di Sebuyau hari ini.

SEBUYAU, 25 OKT: Cadangan untuk mewujudkan Agensi Pembangunan Kawasan Pesisir(CDA) harus dipertimbangkan oleh kerajaan, kata Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Julaihi Narawi.

Beliau yang juga ADUN Sebuyau berkata, ia adalah penting bagi membangunkan kawasan pesisir secara keseluruhan.

“Sebenarnya kami(beberapa orang wakil rakyat) di kawasan pesisir, malah semasa kami di Dewan Undangan Negeri dan di Konvensyen PBB Zon Betong kita ada mengemukakan usul supaya diwujudkan Agensi Pembangunan Kawasan Pesisir,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selesai Majlis Penyerahan Bantuan Peralatan Projek Dana Jaminan Makanan(DJM) di Kampung Hilir Tebelu di sini, hari ini.

Menurut Julaihi, kawasan pesisir mempunyai banyak sumber sama ada sumber perikanan, tanah pertanian, modal insan dan lain-lain lagi.

Dengan wujudnya satu agensi katanya, pendekatan yang lebih sesuai dapat digunapakai untuk membangunkan kawasan pesisir.

Tambah beliau, kawasan pesisir adalah satu kawasan yang sangat unik dan mempunyai nilai tinggi di luar negeri.

“Tetapi sekarang kita sudah ada jalan raya, kita sedang membina jambatan. Maknanya kawasan pesisir mempunyai potensi besar untuk dibangunkan pada masa akan datang.

“Ini adalah satu pendekatan yang kita rasakan sesuai selain daripada agensi-agensi lain yang telah diwujudkan.

“Ini cadangan daripada saya dan rakan rakan dari kawasan pesisir di masa akan datang,” ujar beliau. — DayakDaily