ADUN Tasik Biru menyumbangkan barangan makanan untuk keluarga kurang berkemampuan

Henry (enam dari kanan) menyampaikan sumbangan makanan kepada keluarga kurang berkemampuan yang menyambut Tahun Baru Cina di DUN Tasik Biru.
Advertisement

BAU, Feb 18: Sempena perayaan Tahun Baru Cina ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep dan pasukan kebajikannya telah mengadakan kunjungan mengejut ke kediaman seramai 18 keluarga kurang berkemampuan sekitar Bau yang menyambut perayaan itu.

Kebanyakan keluarga kurang berkemampuan tersebut menetap di Musi, Badul, Tondong, Krian, Tanjung, Batu, Taiton, dan Boring yang dalam kawasan DUN Tasik Biru.

Juga mengikuti kunjungan itu Sabtu lepas ialah Pemanca Bong Jong Long, Penghulu Liew Chiew Hian, Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Ketua Tasik Biru, John Nyigor, Pegawai Tadbir Negeri (SAO) Eddy Nayoi, ketua masyarakat Bau Cr Richard Voon dan Cr Marthadaria.

Advertisement

Kunjungan terbabit adalah bagi Henry bertanya khabar, mengenalpasti masalah dan menyumbangkan barangan makanan menyambut perayaan itu kepada keluarga terbabit.

“Sumbangan makanan terbabit diperolehi dari penderma yang bermurah hati dan mahu menyokong usaha murni Henry danpasukan Kebajikan N2 Tasik Biru mengenalpasti dan mengembirakan keluarga kurang berkemampuan pada perayaan Tahun Baru Cina ini,” menurut satu kenyataan media oleh pasukan itu baru-baru ini.

Disamping itu, lawatan berkenaan juga bagi melihat keadaan rumah keluarga miskin terbabit yang ada sebahagiannya telah dibaikpulih atau dibina semula melalui skim pembasmian kemiskinan diusahakan wakil rakyat itu mengunakan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) DUN Tasik Biru.

Pemberian sumbangan makanan bagi menyambut perayaan utama dan pembinaan atau baikpulih rumah terbabit telah dimulakan Henry dua tahun lepas bagi membantu keluarga kurang berkemampuan dari semua kaum dan agama di kawasan DUN itu. — DayakDaily

Advertisement