Lelaki warga emas dilaporkan hilang selepas keluar periksa jaring ikan

Pusat kawalan bomba untuk operasi mencari dan menyelamat mangsa yang dilaporkan di Sungai Baleh.

KAPIT, Feb 18: Seorang lelaki warga emas dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumahnya di Kerangan Ara Baleh setelah keluar memeriksa jaring ikan di Sungai Baleh di sini petang semalam.

Mangsa, Reba Gawing, 63, dilaporkan tidak pulang ke kampung selepas keluar memeriksa jaring ikan pada pukul 6 petang.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kapit, PBK II Andrew Puing Satin berkata, pihaknya hanya menerima laporan berhubung insiden tersebut pada pukul 9.30 pagi ini.


Katanya, sejurus menerima laporan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kapit, sepasukan lima anggota bomba dengan menggunakan sebuah bot segera ke lokasi kejadian.

“Operasi pencarian dimulakan dengan menggunakan bot penyelamat yang diturunkan melalui jeti atau wharf Bleteh untuk menyusuri Sungai Baleh.

“Pasukan bomba mengalami masa kira-kira dua jam untuk sampai ke tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Andrew menambah, pusat kawalan bomba sudah dibuka untuk operasi mencari dan menyelamat mangsa.

“Bagaimanapun, setakat ini mangsa masih lagi belum ditemui,” katanya lagi. — DayakDaily