Adun Tamin: Insentif bulanan khas bantu ringankan beban rakyat

KUCHING, MAC 24: Adun Tamin, Christopher Gira mengalu-alukan insentif bulanan khas untuk petugas barisan hadapan Covid-19 yang diumumkan ketua menteri semalam.

Katanya, peruntukkan yang diluluskan adalah untuk membantu rakyat Sarawak khususnya kakitangan kerajaan yang terlibat secara langsung dalam menangani penularan wabak Covid-19.

“Kerajaan telah meluluskan elaun sebanyak RM300 sebulan kepada para doktor, jururawat dan pengawai kesihatan untuk tempoh 6 bulan.

“Bantuan yang sama juga diberikan kepada anggota polis, tentera, imigresen dan RELA iaitu sebanyak RM200 sebulan,’katanya menerusi kenyataan hari ini.

Melalui paket tersebut tambah Gira, golongan B40 turut diberikan RM250 sebulan untuk tempoh 6 bulan.

Menurut beliau lagi, bantuan ini amat diperlukan terutamanya kepada peniaga kecil seperti pengusaha kedai makan dan minum, penjual sayur, buah-buahan, ikan dan daging.

“Mereka telah kehilangan sumber pendapatan pada waktu ini dan bantuan sedikit sebanyak meringankan beban yang ditanggung,”ujar beliau.

Dalam pada itu, Gira juga menerima baik pengumuman perdana menteri semalam melalui inisiatif pengeluaran KWSP sejumlah RM500 untuk tempoh 12 bulan dari Akaun 2.

Beliau yakin ia adalah berita baik untuk pencarum, namun berpendapat simpanan tersebut tidak harus dikeluarkan jika tidak diperlukan.

“Saya berpendapat, simpanan ini tidak perlu dikeluarkan kerana Kerajaan Sarawak telah meluluskan beberapa inisiatif.

“Simpanan KWSP digunakan setelah bersara, tetapi sekiranya benar-benar perlu, maka pencarum boleh berbuat demikian kerana kelulusan itu hanya pilihan,” ujar beliau. —DayakDaily