ADUN Serembu menyumbang RM40,000 untuk menyiapkan pembinaan gereja Kampung Ledan.

Miro (dua dari kiri) pada majlis penyerahan sumbangan kepada gereja Kampung Ledan.

KUCHING, April 21: Penduduk Kampung Ledan di Bau akhirnya bakal memiliki gereja sendiri setelah sekian lama bersembahyang menggunakan balai raya.

Kemudahan yang amat diperlukan umat Kristian di kampung berkenaan mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Miro Simuh baru-baru ini.

Beliau telah memberikan peruntukan di bawah Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM40,000 kepada Kampung Ledan bagi menyiapkan gereja mereka yang sedang dalam pembinaan.

Katanya, pembinaan gereja di kampung berkenaan yang diberi nama St. Faustina adalah dibiayai daripada hasil kutipan dana para penganutnya.

Namun, gereja yang sudah mencapai tahap 70 peratus siap itu masih memerlukan dana tambahan untuk ia disiapkan sepenuhnya.


“Dengan siapnya gereja ini akan memberi keselesaan kepada umat Kristian di Kampung Ledan dalam mengerjakan ibadat mereka,” katanya apabila dihubungi.

Menurut Miro, terdapat kira-kira 250 orang penganut Kristian di Kampung Ledan. — DayakDaily