Adun Serembu gesa kontraktor segera siapkan kerja pembaikan struktur cerun di Jalan Bau-Kuching

Lokasi kerja pembaikan cerun di Jalan Bau-Kuching. Foto: Ukas

KUCHING, 9 Jan: Adun Serembu, Miro Simuh menggesa pihak kontraktor untuk segera menyiapkan kerja-kerja pengukuhan struktur cerun di Jalan Bau-Kuching berdekatan Pekan Siniawan di Bau.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Miro berkata, pembaikan laluan tersebut perlu disegerakan memandangkan ia merupakan laluan utama pengguna jalan raya ke Kuching dan Bau serta kawasan sekitarnya.

“Aspek keselamatan pengguna jalan raya amat diutamakan memandangkan permukaan laluan berkenaan masih tidak kukuh.


“Ini adalah akibat pergerakan air di bawah tanah susulan cuaca hujan berterusan sebelum ini,” kata Miro.

Beliau berkata demikian semasa melakukan tinjauan bersama pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Bahagian Kuching di tapak kerja pada Isnin (8 Jan).

Pada Oktober tahun lepas, jajaran sepanjang 500 meter tersebut terpaksa ditutup tiga bulan akibat permukaan jalan yang rosak susulan pergerakan cerun tanah di kawasan berkenaan. — DayakDaily