Oleh Chris Bishop
KUCHING, 11 NOV: Bau memerlukan pusat penyembelihan khinzir atau abattoir yang baharu untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat.
Adun Serembu Miro Simuh berkata, peruntukan kerajaan diperlukan pada tahun 2021 untuk membina pusat penyembelihan baharu yang berkapasiti besar dengan teknologi moden selain mematuhi syarat-syarat berkaitan dengan penjagaan alam sekitar.
“Tapak telahpun dikenalpasti dan sekarang hanya menunggu kelulusan daripada pihak kerajaan Sarawak.
“Jangkaan kos pembinaan adalah dalam lingkungan RM15 juta,” katanya dalam ucapan menyokong Rang Undang-Undang Perbekalan (2020), 2021 dan Usul untuk merujuk Resolusi Anggaran Pembangunan bagi Perbelanjaan 2021 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Menurut Miro, pusat penyembelihan sedia ada yang lokasinya tidak jauh dari Pekan Warisan Siniawan telah dibina lebih kurang 30 tahun dahulu dan hanya berkapasiti 80 ekor penyembelihan sehari.
Sekarang, katanya, pusat tersebut terpaksa menyembelih di antara 250 hingga 300 ekor khinzir sehari untuk pasaran Bandaraya Kuching, Kota Sentosa, Batu Kawah, Siburan, Bau dan Lundu.
“Disebabkan permintaan tinggi di pasaran, pusat penyembelihan ini sudah tidak mampu untuk beroperasi lebih dari tahap sedia ada sekarang.
“Bahkan buat masa ini, pusat ini terpaksa beroperasi 24 jam untuk memenuhi permintaan tinggi pasaran,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Miro berharap kerajaan menerusi Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak dapat meluluskan projek pembangunan kemudahan pelancongan di Brooke Heritage Site di Gunung Serembu.
Ujar beliau, projek tersebut telah lama tertunda selepas ianya dibatalkan kelulusan melalui peruntukan kerajaan persekutuan oleh kerajaan Pakatan harapan (PH) pada tahun 2018. — DayakDaily