Adun Satok serah bantuan kepada mangsa kebakaran

Ibrahim (kanan) ketika ditemui di lokasi kebakaran.

KUCHING, 18 April: Adun Satok Dato Ibrahim Baki hari ini menyampaikan bantuan kewangan kepada mangsa kebakaran di Satok pada 14 April lepas.

Beliau menyampaikan bantuan tersebut kepada wakil keluarga mangsa kebakaran dalam lawatan beliau ke tapak kebakaran.

Pada lawatan itu, Ibrahim juga menyerahkan sumbangan kewangan dari Sarawak United People’s Party (SUPP) Satok dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Green Road.


“Sumbangan ini membantu mereka sementara mereka membuat tuntutan insuran.

“Dan lebih penting, ia sebagai sokongan moral kepada mereka,” ujar Ibrahim semasa ditemui di lokasi.

Beliau menyifatkan insiden kebakaran pada Khamis minggu lepas sebagai ganjil di mana salah sebuah rumah tersebut terbakar dua kali dalam tempoh 12 jam.

Rentetan kebakaran tersebut, dua lagi rumah yang bersebelahan turut musnah dalam insiden tersebut.

Oleh itu, Ibrahim berkata pihaknya telah meminta pihak polis untuk membuat rondaan lebih kerap di kawasan tersebut.

“Ini bukan satu-satunya kes sebegini, saya juga mencadangkan supaya ditubuhkan sebuah pasukan Kejiranan Mesra (KJM).

“Ini membolehkan mereka membuat rondaan di kawasan ini dan mempunyai ‘direct link’ kepada pihak polis,” ujar beliau.

Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Abdul Samat Gany, Kapitan Tan Kok Chiang, wakil SUPP Satok dan wakil JKKK Green Road. — DayakDaily