Penduduk rumah panjang Uma Bawang hilang tempat tinggal sekelip mata akibat kebakaran

Kelihatan api sedang marak membakar rumah panjang Uma Bawang di Sungai Asap.

Oleh Dean Adam

BELAGA, April 15: Malang menimpa kira-kira 30 buah keluarga yang menetap di Rumah Panjang Uma Bawang di Sungai Asap dekat sini selepas mereka hilang kediaman dalam sekelip mata akibat kebakaran lewat petang tadi.

Kejadian kira-kira pukul 6 petang itu mengakibatkan rumah panjang berkenaan musnah terbakar 100 peratus.


Komander Operasi dari BBP Bintulu, Mohamad Meramit berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 6.03 petang.

Jelasnya, sepasukan 11 anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi memadam kebakaran.

Kelihatan api sedang marak membakar rumah panjang Uma Bawang di Sungai Asap.
Kelihatan api sedang marak membakar rumah panjang Uma Bawang di Sungai Asap.

“Jarak perjalanan ke lokasi dari balai bomba mengambil masa 1 jam 30 minit sehingga 2 jam.

“Setakat ini, tiada laporan kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku,” katanya di sini hari ini.

Mohamad Meramit menambah, pasukan bomba sukarela Sungai Asap juga telah dikerahkan ke lokasi untuk melakukan operasi memadam kebakaran.

“Setakat ini, punca kebakaran masih lagi dalam proses siasatan.

“Maklumat tambahan akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” ujarnya. — DayakDaily