Adun Bukit Semuja cadang kaum Remun disenarai di dalam jadual Pindaan RUU Tafsiran 2022

John Ilus (file photo).

KUCHING, 15 Feb: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Semuja John Ilus mencadang agar suku kaum Remun turut disenarai di dalam jadual Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Tafsiran 2022.

Katanya, kaum Remun boleh dimasukan di dalam senarai secara sendiri atau dirangkum bersama suku kaum Iban.

“Di kawasan Serian, Balai Ringin dan juga Simunjan, terdapat satu suku kaum yang dinamakan Remun atau Iban Remun.


“Mereka sudah ada persatuan sendiri yang dinamakan ‘Sira’ iaitu singkatan untuk Persatuan Iban Remun Serian.

“Menurut sumber dari persatuan tersebut, terdapat 35 buah kampung dan mempunyai lebih dari 35 ribu orang penduduk keturunan Remun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian di Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Pertama Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini bagi menyokong Pindaan RUU Tafsiran 2022.

Tambah John, pindaan yang bakal dibuat seperti di Klausa 2 iaitu senarai suku kaum di Sarawak yang terkandung dalam ordinan terdapat 31 kesemuanya.

Katanya, ada di antaranya terdapat kumpulan kecil lagi dalam satu-satu kaum itu sendiri.

“Contohnya bagi Bidayuh, di mana ‘sub’-kumpulannya adalah seperti Salako, Rara, Jagoi, Singai, Biatah dan Bukar Sadong.

“Begitu juga dengan suku kaum Kajang dan Kenyah,” ujar John.

Bagi kawasan DUN Bukit Semuja, ujar John, terdapat tujuh lagi kampung adalah dari suku kaum Remun selain Kampung Remun. — DayakDaily