Adun Batu Danau serahkan bantuan segera RM39,000 kepada mangsa kebakaran Rh Bujang Minggan

Paulus (lima dari kiri) menyerahkan sumbangan kepada Tan. Foto: Ukas

KUCHING, 25 Jan: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Danau Paulus Palu Gumbang hari ini menyerahkan sumbangan RM39,000 untuk diagihkan kepada 39 pintu Rumah Panjang Bujang Minggan, Kampung Rantau Kiran di Limbang yang musnah dalam kebakaran awal pagi ini.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), sumbangan itu diserahkan kepada Penghulu Tan Kayan yang merupakan salah seorang daripada mangsa kebakaran dan penghuni rumah panjang tersebut.

Dalam pada itu, turut diserahkan bantuan air minuman bagi membantu menampung keperluan harian mangsa.


Insiden kebakaran yang berlaku telah memusnahkan rumah panjang yang diperbuat daripada kayu dan batu-bata serta harta benda milik penghuni.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan di dalam insiden tersebut dan mangsa yang terjejas ditempatkan di dalam gereja, garaj tempat letak kereta dan rumah saudara-mara yang terdekat.

Setakat ini bantuan yang telah disalurkan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat adalah seperti makanan harian, kit kebersihan, kelengkapan tidur dan makanan kering.

Bantuan dan keperluan yang lain dijangka akan diberikan kemudian setelah selesai siasatan dan laporan lengkap dibuat. — DayakDaily