Oleh Chris Bishop
KUCHING, 11 Ogos: Acara wushu di Temasya Sukan Sea 2027 bakal diadakan di Kuching, kata Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Menurut beliau, Sarawak yang menjadi penganjur bersama temasya sukan itu telah memilih wushu untuk diadakan di Kuching.
“Ada 18 acara yang kita telah disuruh untuk memilih untuk dipertandingkan di Sarawak dan kita telah membuat pemilihannya, menyerahkan senarai itu kepada Kementerian Belia dan Sukan.
“Dan sukan wushu kita telah memohon agar diadakan di sini,” kata Abdul Karim.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis perasmian Pusat Latihan Wushu Sarawak di Jalan Stadium di sini, hari ini.
Sementara itu, Abdul Karim yakin skuad sukan wushu akan menjadi penyumbang pingat emas terbesar untuk kontinjen Sarawak semasa Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak yang diadakan di Pusat Latihan Wushu Sarawak pada 14 hingga 16 Ogos ini.
Katanya, kekuatan atlet wushu kini berada dalam keadaan siap sedia untuk berentap pada Sukma 2024.
“Sudah tentu banyak emas yang diperoleh dari sukan wushu. Untuk jumlahnya, saya tidak tahu dan kita doa yang baik-baik sahaja,” ujarnya. — DayakDaily