Peniaga lesap wang RM28,548 ditipu sindiket ‘Macau scam’

Scam alert. — DayakDaily.com file pic // Photo: Pixabay

Oleh Dean Adam

MIRI, Dis 12: Seorang peniaga kerugian sebanyak RM28,548 akibat terpedaya dengan sindiket ‘Macau scam’.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata, kejadian melibatkan lelaki berusia 54 tahun itu dilaporkan berlaku semalam.

Menurutnya, berdasarkan laporan diterima, mangsa dikatakan menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya kononnya sebagai anggota polis dan dikenali sebagai Sarjan Lim.

“Suspek kemudian memberitahu mangsa ada waran tangkap dari mahkamah kerana terlibat dengan kes membuat pemalsuan kad kredit Maybank dan memberitahu mangsa ada terima wang sebanyak RM273,000.

“Lelaki itu seterusnya telah mengarahkan mangsa memberikan nombor akaun bank dan peniaga tersebut seterusnya memberikan butiran akaunnya kepada suspek,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mustafa memberitahu, mangsa kemudiannya menerima mesej menyatakan bahawa tiga transaksi pemindahan wang berjumlah RM28,548 dari akaunnya ke akaun yang berbeza.

Katanya, suspek yang menyedari telah ditipu kemudian membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

“Setakat ini, kes berkenaan masih lagi dalam proses siasatan,” ujarnya. — DayakDaily