Abg Jo: Sarawak sertai kerajaan PN plus GPS dengan 3 syarat

Abang Johari bersama rakyat di “Sesi Townhall Berambeh Ngan Abang Jo” di Gedong.

Oleh Chris Bishop

GEDONG, 8 Mac: Sarawak setuju menyertai kerajaan pusat Perikatan Nasional plus Gabungan Parti Sarawak (PN+GPS) dengan meletakkan tiga syarat.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata jemputan kerajaan pusat diterima tapi ada syaratnya.

“Syarat pertama ialah hak-hak Sarawak di dalam Perjanjian Malaysia 1963(MA63) mesti diakui. Kedua, undang-undang Sarawak ke atas perkara berkaitan minyak dan gas harus diakui.

“Ketiga, kita tidak akan menyertai Perikatan Nasional (PN), Sarawak hanya akan menjadi rakan melalui Gabungan Parti Sarawak(GPS),” katanya pada “Sesi Townhall Berambeh Ngan Abang Jo” di panggung terbuka, di sini, hari ini.

Menceritakan ketidaktentuan politik yang dihadapi negara dalam tempoh seminggu lepas, Abang Johari berkata GPS memilih Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri demi kepentingan negara dan rakyat.

“Pada minggu lepas (Sabtu), pihak Istana mencari saya sebab kedua-dua pihak yang berebut tidak memperolehi sokongan yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

“Setelah berbincang dengan pemimpin GPS, saya memaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa kita menyokong Muhyiddin. Setengah jam kemudian, Agong mengumumkan Muhyiddin sebagai perdana menteri kelapan,” kata Abang Johari yang juga pengerusi GPS. — DayakDaily