Laluan Serian ke Kuching di Flyover Batu 4 dibuka pada minggu ini

Lo (kanan) berbincang dengan Chee (tengah) semasa lawatan ke Flyover Batu 7 hari ini (3 Mac 2021).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 3 Mac: Laluan Serian ke Kuching di atas Flyover Batu 4 di sini akan dibuka kepada pengguna jalan raya pada minggu ini.

Menurut Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Lo Khere Chiang, jambatan tersebut kini sudah hampir siap sepenuhnya dan hanya tinggal kerja-kerja kecil sahaja.


“Flyover Batu 4 masih belum siap, kita belum boleh buka sepenuhnya kepada pengguna jalan raya.

“Tetapi pihak Jabatan Kerja Raya akan membuka laluan dari Serian ke Kuching di atas jambatan tersebut dan ini sudah tentu membantu mengurangkan kesesakan trafik,” katanya ketika ditemui pada lawatan ke tapak projek Flyover Batu 7 di sini, hari ini.

Tambah Lo yang juga Adun Batu Kitang, laluan dari Kuching ke Serian di atas jambatan itu masih belum dapat dibuka dan akan dilakukan secara berperingkat.

Pada lawatan tersebut, beliau turut memaklumkan bahawa satu pusingan-U akan dibina di bawah Flyover Batu 7 yang sedang dalam pembinaan.

Katanya, pusingan-U itu nanti mampu meleraikan trafik di sepanjang jalan dari arah Serian ke Kuching berhadapan lampu isyarat Batu 7.

“Kesesakan sering berlaku di sepanjang jalan tersebut pada setiap masa. Pusingan-U ini nanti mampu mengurangkannya.

“Kita sudah melakukan banyak penambahbaikan dan dalam sedikit masa lagi, pergerakan kenderaan menuju ke pusat bandar Kuching akan lancar,’ujar Lo.

Beliau menjangkakan yang pusingan-U di bawah Flyover Batu 7 akan siap dibina pada bulan Mei ini.

Turut serta pada lawatan itu Jurutera JKR Chee Yuann Fong. — DayakDaily