Oleh Chris Bishop
KUCHING, 16 Nov: Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah membidas tindakan pihak pembangkang yang mewar-warkan bahawa Rang Undang-Undang Perlembagaan Sarawak (Pindaan) 2020 yang diluluskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang lepas ada kesilapan.
Menurut beliau, tindakan pihak pembangkang tersebut adalah bermotifkan politik yang bertujuan untuk mengelirukan rakyat.
“Saya hairan, walaupun Rang Undang-Undang (RUU) ini telah diluluskan dengan lebih dua pertiga menyokong, masih lagi pihak pembangkang mewar-warkan ada yang tak kena.
“Mereka (pembangkang) katakan orang bukan Sarawak masih lagi boleh bertanding pada pilihan raya.
“Mereka buat kartun atau ilustrasi. Adakah mereka merasa tergugat atau tidak percaya dengan apa yang telah diluluskan,” katanya.
Abdul Karim berkata demikian menerusi perkongsian klip video di laman Facebook beliau hari ini.
Tambah Abdul Karim, andaian pihak pembangkang seperti ADUN Kota Sentosa Chong Chieng Jen, ADUN Ba’Kelalan Baru Bian dan ADUN Bawang Assan Datuk Seri Wong Soon Koh hanyalah cetusan daripada pemikiran mereka sahaja.
Walhal katanya, dari sudut perundangan andaian tersebut tidak akan terjadi kerana niat pindaan RUU apabila dibawa ke DUN tidak melihat dari perspektif itu.
“Pihak pembangkang menuduh ianya bohong supaya rakyat memikirkan ia tidak betul.
“Tetapi bagi saya, RUU (Pindaan) 2020 ini adalah lengkap dan kita tidak boleh membuat andaian.
“Sekiranya pihak pembangkang tidak yakin, mereka boleh membawanya ke mahkamah untuk menentukan,” ujar beliau lagi.
Mengulas lanjut, Abdul Karim berkata intipati yang dibentangkan dalam para kedua RUU (Pindaan)2020 adalah berkenaan siapa yang layak bertanding pada pilihan raya.
Katanya, niat RUU ialah hanya mereka yang ada hubungkait dengan Sarawak (rakyat Sarawak yang sah) sahaja layak bertanding dan menjadi wakil rakyat.
“Kita tidak mahu mereka yang tiada kaitan dengan Sarawak datang ke negeri ini untuk bertanding, kerana perkara ini banyak berlaku di Semenanjung Malaysia terutamanya melibatkan DAP dan PKR.
“Pemimpin DAP Lim Kit Siang pernah bertanding di Melaka, Selangor, Pulau Pinang manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah di Permatang Pauh dan sekarang di Teluk Kemang.
“Tetapi kita di Sarawak, bila kita tubuhkan GPS, slogannya adalah Sarawak diutamakan.
“Oleh yang demikian, apabila kita menggubal undang-undang berhubung siapa yang layak bertanding dan menjadi wakil rakyat, individu tersebut mestilah memiliki jiwa Sarawak dan ada kaitan dengan Sarawak,” jelas Abdul Karim. — DayakDaily