Abdul Karim optimis sepak takraw wanita berpasukan tetap dipertandingkan pada Sukma 2024

Abdul Karim (depan, dua dari kanan) di Majlis Apresiasi Penajaan Sukma Dan Para Sukma Sarawak 2024 di Kuching (17 Julai 2024).
Advertisement

Oleh Chris Bishop dan Karen Bong

KUCHING, 17 Julai: Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah optimis acara sepak takraw wanita berpasukan akan dipertandingkan pada Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak yang bermula 17 hingga 24 Ogos ini.

Katanya, perkara tersebut akan diputuskan pada Jawatan kuasa Induk Sukma yang bermesyuarat esok, dipengerusikan Menteri Belia Dan Sukan Hannah Yeoh.

Advertisement

“Esok saya akan ke Kuala Lumpur untuk menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Induk Sukma 2024, untuk memutuskan satu lagi acara iaitu sepak takraw wanita berpasukan.

“Pada mesyuarat itu nanti, saya akan membuat rayuan kepada jawatankuasa agar acara ini diteruskan.

“Dari maklumbalas yang saya terima, kita mungkin dapat kelulusan dan jumlah keseluruhan acara kekal 488,” kata Abdul Karim.

Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi Penajaan Sukma Dan Para Sukma Sarawak 2024 di Kuching hari ini.

Menurut Abdul Karim, penganjuran Sukma menetapkan bahawa bagi setiap acara sukan mesti disertai sekurang-kurangnya 6 negeri.

“Acara sepak takraw wanita berpasukan kini hanya ada 5 penyertaan.

“Sarawak sebagai penganjur berharap ia dipertandingkan kerana ada negeri yang sudah membeli tiket penerbangan dan pasukan kita pun sudah bersedia,” ujar Abdul Karim. — DayakDaily

Advertisement