Oleh Chris Bishop
KUCHING, 17 OGOS: Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah tidak menolak kemungkinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik semula sebagai Perdana Menteri.
Ekoran peletakan jawatan Muhyiddin semalam katanya, Yang di-Pertuan Agong difahamkan akan memanggil ketua-ketua parti politik menghadap baginda di Istana Negara.
Menurut Abdul Karim, kemungkinan Yang di-Pertuan Agong sendiri akan bertanya kepada Ahli-Ahli Dewan Rakyat untuk menentukan pemimpin yang mereka sokong untuk dilantik sebagai perdana menteri.
“Sehingga Yang di-Pertuan Agong telah melihat siapa yang mempunyai sokongan majoriti, maka dialah yang akan menjadi perdana menteri.
“Perdana menteri yang dilantik nanti berkemungkinan pemimpin lama, kemungkinan pemimpin baharu atau kemungkinan Muhyiddin sendiri.
“Kalau semua masih setuju dengan beliau, saya rasa tiada masalah untuk Muhyiddin dilantik semula sebagai perdana menteri,” katanya.
Karim berkata demikian pada sidang media Sambutan Hari Kebangsaan 2021 Peringkat Negeri Sarawak di Wisma Bapa Malaysia hari ini.
Semalam, Muhyiddin menyembah warkah surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong setelah hilang kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.
Namun, Yang di-Pertuan Agong berkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai caretaker sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.
Pada sidang media yang sama, Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan berharap perdana menteri yang dilantik nanti akan memastikan hak-hak istimewa dan kepentingan Sarawak di dalam Perlembagaan dijaga.
Seperti yang Muhyiddin lakukan dalam tempoh sebagai perdana menteri kata Abdul Karim, beliau (Muhyiddin) telah berusaha mengembalikan hak-hak Sarawak .
“Jadi, pemimpin yang dilantik sebagai perdana menteri nanti diharap dapat meneruskan usaha mengembalikan hak-hak ini,” ujar Karim. — DayakDaily