Abdul Karim: Hukuman lebih berat jika tidak hormati ‘Negaraku’

Abdul Karim pada sidang media.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Oktober 1: Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah mencadangkan hukuman lebih berat dikenakan kepada individu yang tidak menghormati lagu kebangsaan, Negaraku.

Beliau mengesyorkan agar hukuman penjara untuk beberapa tahun dikenakan jika disabit kesalahan.


“Mengikut Akta Lagu Kebangsaan, individu yang tidak berdiri untuk menghormati Negaraku boleh didenda tidak melebihi RM100.

“Jumlah denda ini amatlah kecil, pada pandangan peribadi saya mereka harus dihukum penjara untuk beberapa tahun,” kata beliau pada sidang media di sini, hari ini.

Abdul Karim diminta mengulas mengenai lapan individu yang tidak berdiri ketika lagu kebangsaan itu berkumandang dalam satu majlis yang melibatkan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Baru pada Jumaat lepas (27 September).

Video perbuatan mereka itu kemudian tular di media sosial dan semalam mereka telah dipanggil memberi keterangan di Pusat Sehenti, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching.

Kecewa dengan tindakan tersebut, Abdul Karim berkata mereka tidak berhak untuk menjadi warganegara Malaysia.

“Jika lagu kebangsaan setiap negara dimainkan dan bendera dinaikan, kita harus berdiri dan memberi hormat. Perbuatan mereka ini sungguh tidak patriotik dan seolah-olah mempersendakan lagu kebangsaan, Negaraku,” katanya.

Kesemua individu terbabit dipercayai anggota kumpulan Sarawak For Sarawakians (S4S) dan kes disiasat di bawah Seksyen 8(3) Akta Lagu Kebangsaan 1968, yang memperuntukkan denda tidak lebih RM100 atau penjara tidak lebih sebulan, jika sabit kesalahan.

Mereka dikatakan berbuat demikian sebagai membantah kerajaan persekutuan berhubung keengganan membayar isu royalti minyak 20 peratus kepada negeri ini.

Namun difahamkan bahawa individu-individu terbabit telah berdiri apabila lagu kebesaran negeri, Ibu Pertiwiku, dimainkan. — DayakDaily