Polis buru Syed Haidil Syed Ahmad terlibat dalam dua kes penipuan

Suspek yang diburu polis, Syed Haidil Syed Ahmad.

KUCHING, Okt 1: Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak sedang memburu seorang suspek lelaki bagi membantu dua kes melibatkan peipuan dan kerugian sebanyak RM14,563.10.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, SUPT Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, suspek yang diburu ialah Syed Haidil Syed Ahmad, berusia 37 tahun.

Katanya, berdasarkan laporan kes pertama, suspek dikatakan menipu seorang wanita berusia 28 tahun selepas suspek yang menyamar sebagai anggota polis kononnya dapat membantu menguruskan insurans nyawa suami mangsa yang telah meninggal dunia akibat kemalangan.


“Mangsa yang terperdaya telah menyerahkan wang tunai lebih kurang RM8,600 kepada suspek,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Manakala, kes kedua pula katanya melibatkan seorang lelaki berusia 50-an dikatakan ditipu suspek yang menawarkan penjualan tiga buah motosikal dan dua buah kereta yang hendak dilupus oleh pihak kerajaan dan juga tawaran untuk menjelaskan saman trafik mangsa.

Katanya, mangsa yang terperdaya kemudian menyerahkan wang tunai lebih kurang RM5,963.10 kepada suspek.

“JSJK Sarawak telah membuka dua kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan secara tidak jujur mendorong supaya harta diserahkan.

“Sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan suspek diminta menghubunginya di talian 019-7000577 atau ASP Arthur Medang Mark Baran Saging di talian 013-7609771,” katanya. — DayakDaily